03 November, 2008

SCHOOL NET KINI 97 PERATUS



KUALA LUMPUR 30 Okt. - Kerja-kerja pemasangan peralatan yang berkaitan dengan pelaksanaan program Schoolnet di sekolah-sekolah terpilih kini mencapai tahap 97.86 peratus.Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, sebanyak 9,480 daripada 9,689 peralatan yang berkaitan telah selesai dipasang di sekolah terbabit sehingga 1 Jun lalu.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan kesediaan pihaknya untuk mempertingkatkan keberkesanan sistem pendidikan negara dan mewujudkan suasana pendidikan secara interaktif.
''Prasarana Schoolnet membolehkan pihak kementerian menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran tanpa sempadan," katanya ketika menjawab soalan Norah Abd. Rahman (BN-Tanjong Manis) hari ini.
Program tersebut katanya, akan membantu usaha kerajaan mengurangkan jurang digital antara sekolah luar bandar dengan sekolah bandar.
Dalam pada itu, menjawab soalan Roslan Shaharun (PasBukit Gantang) mengenai proses sistem kenaikan pangkat berdasarkan tempoh masa kepada guru siswazah dan bukan siswazah yang telah lama berkhidmat, katanya, urusan itu kebiasaannya mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.
Bagaimanapun katanya, pihak kementerian turut mengambil langkah-langkah penambahbaikan bagi mempercepatkan proses itu dengan menambah kakitangan bagi memproses urusan berkaitan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Kamarudin Jaafar (Pas-Tumpat) mengenai kesediaan kerajaan untuk memberikan bantuan sepenuhnya kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), katanya, ia hanya akan tertumpu kepada sekolah yang berdaftar di bawah kementerian sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).
''Kerajaan telah memberi tumpuan dalam semua aspek pendidikan termasuk peruntukan pembangunan dan mengurus bukan sahaja kepada sekolah agama negeri (SAN) dan SAR yang berdaftar sebagai SABK," ujarnya.
Katanya, kerajaan juga menyarankan agar SAR dan SAN berdaftar di bawah Kementerian Pelajaran bagi menikmati bantuan sumbangan modal dan bantuan penuh seperti sekolah bantuan kerajaan lain.
Tambahnya, sehingga Ogos lalu, sebanyak 154 SAR dan SAN telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebagai tanda persetujuan berdaftar sebagai SABK.
 http://www.utusan.com.my


0 comments:

Post a Comment