Dalam era dunia tanpa sempadan dan e-knowledge ini pengajaran dan pembelajaran di IPGM perlu meniti arus perdana. Pendidikan muzik masa kini harus disesuaikan dengan kemajuan ICT dan keperluan semasa. Selain daripada pembelajaran muzik secara konvensional dengan penekanan kepada seni muzik per se, pelajar/guru pelatih harus didedahkan kepada aspek penggunaan Internet yang berasaskan Web 2.0. Cadangan ini diharap dapat memberi persediaan secukupnya kepada guru pelatih secara amnya untuk menghadapi dunia pendidikan sebenar apabila mereka melangkah keluar dari menara ilmu kelak. Bagi Pendidik Muzik khususnya, mereka bukan hanya perlu melengkapkan diri dengan kemahiran muzik malahan kaedah pengajaran juga haruslah seiring dengan kederasan teknologi.
Kaedah kuliah dengan penggunaan media pengajaran yang minimum iaitu edaran bahan bercetak sahaja menimbulkan kebosanan dikalangan guru pelatih. Ini menyebabkan mereka tidak memberi tumpuan yang sepenuhnya semasa pengajaran pensyarah dan seterusnya ketinggalan dalam memahami isi pelajaran pada masa tersebut. Di dalam subjek seperti Muzik Malaysia misalnya, terdapat 2 disiplin yang perlu guru pelatih ikuti iaitu teori dan amali. Subjek yang berasaskan teori memang menjemukan pelajar/guru pelatih apatah lagi kaedah yang digunakan tidak disertakan dengan bahan-bahan yang berasaskan multimedia dan ini akan menambahkan kebosanan guru pelatih.
Di dalam objektif yang ditetapkan dalam subjek MZU 3132 Muzik Malaysia, ia memerlukan kemahiran berfikir peringkat tinggi ataupun HOTS (High Order Thinking Skill). Kemahiran berfikir peringkat tinggi ( HOTS ) dan penaakulan perlu dikembangkan melalui pengajaran penyelesaian masalah, iaitu sebagai satu topik dalam pengajaran dan juga penggunaan pedagogi dalam penyelesaian masalah semasa mengajar. Oleh yang demikian pemikiran kritis , kreatif dan penyelesaian masalah merupakan aspek pembelajaran guru pelatih yang perlu diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Laporan daripada Curriculum and Evalution Standards for School (1989), menekankan keperluan untuk mengajar kemahiran berfikir peringkat tinggi dan kepada pelajar/guru pelatih bersama-sama dengan penyelesaian masalah. Dalam subjek Muzik Malaysia (MZU3117) kemahiran ini amat diperlukan berdasarkan hasil pembelajaran ditetapkan seperti, menganalisis, mengaplikasi, mensentesis dan menilai (elemen yang ada dalam HOTS). Ini amatlah bersesuaian dengan penggunaan weblog sebagai alat memantapkan pengajaran dan pembelajaran dalam subjek ini kerana ianya mempunyai ciri-ciri tersebut.
Proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan pelbagai kaedah dan pendekatan digunakan. Kebanyakan guru/pensyarah biasanya menyampaikan pengetahuan berasaskan isi kandungan (content) dan berpusatkan pengajaran itu sendiri. Matlamat guru/pensyarah hanyalah ke arah menyediakan pelajar/guru pelatih untuk menduduki peperiksaan pada setiap akhir semester. Apa yang terjadi adalah proses pembelajaran hanya berlaku secara dasar sahaja. Tidak mementingkan pemahaman pelajar/guru pelatih samada benar-benar menguasai kemahiran ataupun tidak. Adakalanya setiap konsep yang disampaikan tidak jelas dan berada jauh di luar konteks sebenar.
Sehubungan dengan itu, pelajar/guru pelatih haruslah dilatih dengan kemahiran berfikir pada peringkat yang lebih tinggi. Pelajar/guru pelatih harus dilatih dengan kemahiran berfikir secara kritikal, menganalisa maklumat serta mengsistesiskan maklumat bagi menyelesaikan masalah dalam pelbagai konteks. Oleh itu, kajian harus dijalankan untuk melihat sejauh manakah penggunaan weblog yang bercirikan mutlimedia dan berasaskan PBL mampu mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar/guru pelatih dalam kursus MZU3112 Muzik Malaysia.
Kaedah-kaedah dan modul pembelajaran yang digunapakai sekarang ini agak kurang berkesan. Memang terdapat penggunaan teknologi dalam pendidikan muzik khususnya subjek Muzik Malaysia (MZU3117) seperti perisian multimedia berasaskan CD-Rom. Penggunaan Perisian Multimedia yang berasaskan CD-ROM misalnya merupakan kaedah yang baik tetapi ianya agak terhad dan sudah dipakejkan. Apabila diulang-ulang guru pelatih sudah dapat mengagak apa yang berlaku selepas itu. Interaksi hanya berlaku diantara pelajar dengan perisian sahaja dan ini tidak mencabar daya pemikiran Guru Pelatih itu sendiri. Oleh itu, jika ada perubahan dari segi kandungan, perisian CD-ROM itu perlu dinaiktaraf dalam ertikata lain ialah memerlukan peningkatan versi dan ianya melibatkan kos dan memakan masa.
Dewasa ini pergantungan terhadap teknologi dan juga berlakunya ledakan maklumat amat diperlukan seperti kuasa untuk menaakul, berfikir dan penyelesaian masalah sangat ketara dan kritikal. Keadaan ini menyebabkan tugas bagi semua pendidik di peringkat sekolah dan IPT khususnya di Malaysia semakin mencabar dan bagi program Pendidikan Muzik di IPG khususnya perlu mengambil perhatian yang sewajarnya mengenai perkara ini.
Penggunaan modul sedia ada hanya melibatkan komunikasi sehala dan hanya melibatkan penggunaan grafik yang minimum. Mana-mana arahan aktiviti yang sukar difahami, pensyarah terpaksa menerangkan semula kepada guru pelatih berkenaan. Oleh kerana pelaksanaan modul adalah mengikut kemajuan guru pelatih, kemungkinan pensyarah terpaksa memberi penerangan bahagian arahan aktiviti yang kurang difahami guru pelatih berulang kali kepada individu yang berlainan. Ini sudah tentu memenatkan pensyarah. Guru pelatih pula tidak dapat meneruskan aktiviti sehingga mendapat penerangan dari pensyarah. Keadaan menjadi lebih teruk lagi sekiranya pada masa yang sama terdapat ramai guru pelatih yang memerlukan bantuan pensyarah. Banyak masa dibazirkan dengan menunggu penerangan pensyarah.
Sebanyak 4 jam dalam seminggu yang diperuntukkan dalam jadual waktu untuk subjek Muzik Malaysia adalah tidak mencukupi untuk mempelajari setiap objektif pembelajaran yang telah digariskan. Terdapat pelbagai topik dan tajuk perlu dihabiskan termasuklah menghasilkan portfolio dan amali yang memerlukan kemahiran berfikir dan kemahiran bermain alat dalam jangka waktu yang singkat. Ini ditambah lagi dengan masa yang diperlukan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dari segi kekangan masa seperti terlibat dengan program-program luar yang menjejaskan jam waktu kuliah. Oleh itu pendekatan penggunaan weblog sebagai alat bantuan mengajar diharap dapat membantu keberkesanan pengajaran dan pembelajaran subjek MZU 3117 Muzik Malaysia.
0 comments:
Post a Comment