22 December, 2009

PCK: Pengetahuan Pedagogikal Kandungan: (Pedagogical Content Knowledge)


Pengetahuan Pedagogikal Kandungan diketengahkan oleh Shulman (1986) dan dikembangkan bersama rakan-rakannya dalam projek The Knowledge Growth in Teaching (Shulman & Grossman, 1988; Grossman 1987; Wilson et al., 1987; Shulman, 1986). Shulman (1986) telah mengkaji beberapa kemungkinan sebab pengetahuan guru telah merosot pada masa lalu. Dalam semua ujian yang telah dijalankan, 90% hingga 95% dapatan menunjukkan guru-guru perlu menguasai sama ada pengetahuan mata pelajaran atau asas pengetahuan am. Persoalan utama kajian beliau ialah tentang bagaimana untuk mengubah daripada seseorang yang pintar (dengan pengetahuan kandungan) menjadi guru baru.


Untuk mengkaji persoalan ini Shulman (1986) telah membina kerangka teori kajian untuk menilai guru baru. Beliau telah melihat unsur pengetahuan kandungan mata pelajaran, pengetahuan pedagogikal kandungan dan pengetahuan kurikulum untuk menilai persediaan guru baru dan mempertimbangkan kajian dengan memberi fokus kepada pengetahuan tentang permasalahan, pengetahuan kes dan pengetahuan strategi. Menurutnya, pengetahuan tentang permasalahan ialah tentang fakta sama ada fakta berkaitan isi kandungan atau pedagogi. Manakala pengetahuan kes pula merujuk kepada bagaimana guru mengelola kes-kes khas daripada pelbagai ragam pelajar atau emosi dalam bilik darjah. Manakala pengetahuan strategi pula bermaksud kebolehan untuk menyelesaikan konflik dengan mengetahui fakta dan kes. Pengetahuan ini dianggap pengetahuan peringkat tertinggi dalam paradigmanya.

Pengetahuan pedagogikal kandungan adalah konstruk yang digunakan

untuk menjelaskanbidang pengetahuan guru mengenai isi kandungan (mata pelajaran) dan pedagogi (strategi pengajaran). Ia adalah pemahaman guru mengenai cara membantu pelajar memahami sesuatu mata pelajaran secara khusus. Ini termasuk pengetahuan tentang bagaimana tajuk-tajuk tertentu dalam sesuatu mata pelajaran, masalah dan isu-isu boleh disusun, dipersembah dan disesuaikan dengan pelbagai minat dan kebolehan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Pengetahuan pedagogikal kandungan akan membantu guru-guru dalam membuat analogi, metafora, memberi contoh, mengadakan pelbagai aktiviti dan tunjuk cara bagi membantu kejayaan pelajar (Shulman, 1986). Grossman (1990) pula menjelaskan salah satu domain pengetahuan guru ialah pengetahuan pedagogikal kandungan yang mengandungi empat komponen, iaitu pengetahuan tentang konsepsi dan tujuan mengajar sesuatu mata pelajaran, pengetahuan tentang kefahaman pelajar, pengetahuan kurikulum dan pengetahuan tentang strategi pengajaran.
Pengetahuan pedagogikal kandungan menurut Carter (1990) pula adalah mengenai apa yang guru-guru tahu mengenai mata pelajaran yang diajar dan bagaimana mereka mengaplikasikannya ketika mengajar di bilik darjah berdasarkan kurikulum. Menurutnya, belajar untuk mengajar adalah persoalan dalam mengubah pengetahuan dari satu bentuk kepada yang lain, dari cadangan kepada aplikasi yang akan bermakna kepada pelbagai pengalaman.

Pengertian tentang pengetahuan pedagogikal kandungan berkait dengan proses transformasi daripada pengetahuan isi kandungan dan pengetahuan pedagogi untuk dipermudahkan dalam pengajaran dan pembelajaran (Gudmundsdottir, 1995; Magnusson et al., 1994; Carter, 1990; Shulman, 1987). Gudmundsdottir (1995) menjelaskan bahawa pengetahuan pedagogikal kandungan adalah pengetahuan isi kandungan guru yang telah dipindahkan menjadi sesuatu yang berbeza daripada sebelumnya berbentuk aplikasi yang praktikal dalam pengajaran. Oleh itu, guru perlu meluaskan prinsip, strategi pengurusan bilik darjah dan mengorganisasikan sesuatu mata pelajaran untuk disampaikan kepada pelajar dengan mudah difahami (McDiarmid et al.,1989) dan membolehkan guru mengesan atau mendiagnos pemahaman dan miskonsepsi di kalangan pelajar (Bennet et al., 1993). Magnusson et al. (1994) pula menyatakan bahawa pengetahuan pedagogikal kandungan sebagai konstruk yang penting untuk menjelaskan peranan pengetahuan guru dalam memudahkan perkembangan pengetahuan murid, khususnya untuk mata pelajaran yang kompleks seperti sains.

Definisi dan takrifan di atas sebenarnya telah menjelas dan memperakukan apa yang telah dikatakan oleh Shulman (1987) iaitu, pengetahuan pedagogikal kandungan sebagai pengetahuan khusus menggabungkan pengetahuan isi kandungan dan pedagogi melalui kefahaman tentang cara mengajar tajuk-tajuk tertentu, masalah-masalah atau isu mengikut minat dan kebolehan pelajar. Kepentingan pengetahuan pedagogikal kandungan memang tidak dapat dinafikan lagi berdasarkan bukti daripada beberapa kajian lampau. Kajian Gudmundsdottir (1990) di sekolah tinggi di San Francisco, terhadap empat orang guru cemerlang yang mengajar Bahasa Inggeris dan Sejarah Amerika menggunakan kaedah kajian kes telah mengambil masa selama lima bulan. Antara dapatan kajiannya ialah perspektif guru terhadap kandungan mata pelajaran akan mempengaruhi pengajaran dan interpretasi mereka. Keempat-empat orang guru tersebut menyatakan minat mereka terhadap mata pelajaran yang diajar dan sentiasa memastikan pengajaran mereka bermakna kepada pelajar.

Pengetahuan pedagogikal kandungan guru adalah komponen yang amat signifikan mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran seperti yang dibincangkan di atas. Kajian menunjukkan guru Pendidikan Moral lebih menekankan akademik berbanding pembinaan perwatakan (Laud, 2000). Malah kajian Wan Hasmah Wan Mamat (2000) mendapati, tumpuan lebih diberikan kepada akademik bertujuan untuk menyediakan pelajar menghadapi peperiksaan dan mengabaikan penekanan komponen nilai. Ball (1988) telah mengkaji keperluan seorang guru matematik mendapati pengetahuan matematik ternyata menjadi pokok untuk membolehkan guru membantu pelajarnya mempelajari sesuatu. Oleh itu, guru-guru perlu memahami konsep matematik dan prosedur bertujuan untuk menyediakan pembelajaran dan aktiviti kepada pelajarnya. Guru mesti mempunyai pengetahuan yang mendalam untuk membolehkan mereka menerang dan menilai idea-idea yang dikeluarkan oleh pelajar. Perbincangan seterusnya akan cuba membandingkan pengetahuan pedagogikal kandungan antara guru pengkhususan dengan guru bukan pengkhususan dan guru berpengalaman dengan guru baru berdasar kajian lampau.

Di petik dari : TESIS PhD DR. ABD. SHATAR BIN CHE ABD. RAHMAN:
PENGETAHUAN KANDUNGAN DAN PEDAGOGI GURU PENDIDIKAN MORAL
TINGKATAN EMPAT DI SEBUAH SEKOLAH