29 March, 2009

PENGGUNAAN TEKNOLOGI- SET TERBESAR DI DUNIA - DUNIA KENIT


PEMANDANGAN kelihatan seperti waktu senja di sebuah stesen kereta api yang sibuk. Barisan gerabak menunggu penumpang yang mundar-mandir di platform atau membeli makanan ringan di kiosk berhampiran.

Namun hakikatnya, pemandangan itu adalah set kereta api terbesar dunia yang dibina dua adik-beradik kembar selepas menghabiskan masa sembilan tahun dan membelanjakan RM42.35 juta.


Landasan kereta api sepanjang 9.6 kilometer itu bergerak melalui beberapa bandar dan pemandangan terkenal dunia — dari kawasan pergunungan Switzerland hinggalah ke hotel and kasino di Las Vegas.

Taman diberi nama ‘Miniatur Wunderland’ itu bergerak melalui enam kawasan, termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland, Scandinavia, Jerman dan Pergunungan Alps Austria.

Di kawasan AS, model Pergunungan Rocky, Everglades, Cape Canaveral dan Grand Canyon begitu halus dan nyata.

Manakala di Switzerland, Gunung Matterhorn gah berdiri setinggi enam meter daripada set miniatur itu.

Kembar, Gerrit dan Frederik Braun, 41, dari Hamburg memutuskan untuk membina model itu dengan menambah 4,000 kereta bergerak, 160,000 patung dan juga pelbagai jenis pengangkutan lain.

Satu muzik festival turut berlangsung di Switzerland dan satu pemandangan polis menangkap penjenayah turut melengkapi model itu.

Kembar Gerrit bagaimanapun menyatakan, projek mereka itu belum siap sepenuhnya dan hanya akan sempurna pada 2014.

“Ia bukan hanya model tapi dunia yang menjemput pengunjung untuk berkhayal,” kata Frederick.

Gerrit pula menyatakan, mereka ingin membina dunia yang dikagumi bukan saja kanak-kanak, tapi juga orang dewasa.

“Kami sentiasa bersedia untuk menyahut sebarang cabaran, tidak kira betapa sukar untuk memulakannya. Dengan sikap itu kami akhirnya berjaya menghasilkan sesuatu yang mengagumkan pengunjung,” katanya.

Model itu menggunakan jumlah yang sukar diterima akal. Ia mengandungi 700 kereta api dan 10,000 gerabak, Kereta api terpanjang berukuran 46 kaki dan semuanya dikawal oleh pusat kawalan khas.

Model itu turut menggunakan 900 lampu isyarat, 2,800 bangunan, 4,000 kereta dan 160,000 individu yang direka khas.

Kira-kira empat tan besi digunakan untuk membangunkan pemandangan yang menakjubkan ini dan juga 698 kilogram rumput tiruan.

Manakala 250,000 lampunya pula dipasang dengan sistem automatik yang akan menyala dan padam mengikut kitaran malam dan siang.

Keseluruhan, projek ini memakan masa 500,000 jam dan membelanjakan dana kira-kira RM42.35 juta.

“Segalanya mungkin di Wunderland, sama ada berjudi di Las Vegas, menaiki Alps atau bersampan di Norway.

“Dunia ini bagaimanapun akan terus membesar dan anda boleh alami pengalaman malam dan siang di wilayah berbeza dalam tempoh hanya beberapa jam.

“Ini bukan hanya satu model kereta api, tapi dunia yang menjemput pengunjung melihat dan menempuh pengalaman berbeza.

“Ia memberi gambaran mengenai kepelbagaian pandangan dan membuka peluang kepada pengunjung menilai dunia kita daripada perspektif yang berbeza,” kata Frederik.

Miniatur Wunderland dibina berhampiran Sungai Elbe di Speicherstadt di Hamburg, Jerman.



2 comments:

Romantic said...

salam kenal
saya guru dari indonesia
saya sangat kagum dengan kemajuan pendidikan di malaysia

. said...

Terima Kasih Itah.... sebenarnya Indonesia tidak kurang hebatnya.... Lihat sahja dari segi Research Education....

Post a Comment