03 February, 2010

Inovasi Sektor Pendidikan Perlu Dijana Semaksimum Mungkin


(Bernama, 2010) KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Inovasi dalam sektor pelajaran perlu dijana semaksimum mungkin bagi mengekang peningkatan kadar kemiskinan akibat pengurangan peruntukan kerajaan kepada sektor itu, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata memandangkan pelajaran adalah enjin kepada kemajuan ekonomi dan mobiliti sosial, banyak negara kini menukar tumpuannya kepada sektor pelajaran sebagai penawar untuk mengukuhkan persaingan, peluang pekerjaan dan perpaduan sosial.

"Dalam era krisis ekonomi global yang sedang kita hadapi ini, sektor pelajaran seluruh dunia turut mengalami kesan daripada segi agihan peruntukan bajet negara.

"Oleh itu, guru perlu lebih kreatif dan inovatif dan perlu menambah beberapa dimensi lain kepada pengajaran," katanya dalam teks ucapan Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Inovasi Pendidikan Islam yang dibaca oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Asariah Meor Shaharuddin di Subang Jaya dekat sini Jumaat.

Puad berkata inovasi dalam sektor pelajaran juga selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan bajet baru-baru ini yang menegaskan Malaysia perlu beranjak kepada satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi dalam usaha untuk memastikan negara dapat terus berasing dan relevan dalam persaingan ekonomi global.

Oleh itu, Puad berkata kerajaan melalui Gagasan 1Malaysia yang merangkumi Bidang Keberhasilan Utama Negara dan Petunjuk Prestasi Utama cuba untuk mentransformasikan Malaysia melalui proses inovasi yang menyeluruh.

"Ia meliputi inovasi tadbir urus dalam sektor awam dan swasta, inovasi dalam kemasyarakatan, inovasi bandar, inovasi desa, inovasi korporat, inovasi industri, inovasi penjagaan kesihatan, inovasi pengangkutan, inovasi jaringan keselamatan sosial, inovasi penjenamaan dan tidak ketinggalan inovasi pendidikan," katanya.

Beliau berkata perubahan inovasi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti pengenalan teknologi yang baru, perubahan sistem dan prosedur kerja yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos sekaligus mampu meningkatkan penghasilan produktiviti atau hasil kerja dan perkhidmatan.

Katanya Kementerian Pelajaran juga telah mewujudkan semula pertandingan Anugerah Inovasi untuk memberi pengiktirafan kepada bahagian atau institusi pendidikan yang menunjukkan prestasi cemerlang melalui inovasi yang dilaksanakan.

-- BERNAMA